PRINT'09 DALAM KENANGAN

PRINT’09 DALAM KENANGAN
MENUTUP TIRAI KRS MUSLEH 2009


Assalamualaikum wbr. Salam sejahtera buat semua yang hadir ke PRINT’09. Sesungguhnya pertemuan yang sungguh singkat itu meninggalkan kenangan yang sangat indah buat Jawatankuasa Pelaksana PRINT’09. Sekalung tahniah dan syabas kepada semua kontinjen SRI-SMI yang membuat persediaan untuk hadir dan menjayakan program yang gilang-gemilang ini. Sesungguhnya komitmen para Ahli Lembaga MUSLEH, Ahli-ahli Lembaga Pengelola Sekolah dan Guru Besar/Pengetua adalah sangat penting dalam kita menguatkan jaringan dan kekuatan pasukan KRS MUSLEH. Namun begitu komitmen kontinjen Pramuka JSIT Indonesia yang datang dari seluruh pelusuk Indonesia, Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi sangat-sangat menyentuh hati kita. Begitu juga kontinjen dari Selatan Thailand yang mengumpulkan wakil dari Pattani, Narathiwat dan Yala walaupun tidak ramai tetapi cukup untuk menyemarakkan ikatan ukhuwwah yang pertama kali terjalin.

Majlis Pemasyhuran KRS MUSLEH yang penuh gilang gemilang yang telah disempurnakan oleh YB Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, seharusnya menjadi titik tolak dalam meningkatkan komitmen dan motivasi para pendokong SRI-SMI ke arah memartabatkan wadah tarbiah kepimpinan pelajar ini di mata negara dan dunia. Bagi pihak MUSLEH kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kesempatan masa yang diberikan oleh YB Dr Puad untuk turun merasmikan PRINT’09 walaupun sibuk untuk sesi pembentangan dan perbahasan di Dewan Negara pada hari yang sama.

Alhamdulillah penyertaan yang aktif dari semua SRI-SMI dan tetamu jemputan telah menjayakan semua aktiviti yang telah disusun. Laporan-laporan dalam akhbar tabloid dan Laman Web Malaysia harmoni menceritakan segala-galanya. Bermula dengan pertunjukan BaSeD di bawah bimbingan Cikgu Khairi Ab Rahman, Perunding dan Koreografer dan pertandingan BaSeD di hari ketiga serta pertandingan kem kraf menampakkan persediaan yang baik dari pihak sekolah. Persembahan daripada Pancaragam Brass Rejimen Renjer DiRaja Kem Wardiburn KL di awal majlis perasmian menghiburkan hati dan menceriakan suasana.

Kesempatan ini juga kita berikan ucapan terimakasih kepada Unit Ko-Kurikulum (Pakaian Seragam) Bahagian Sukan, Seni dan Ko kurikulum KPM khususnya kepada pegawai-pegawainya iaitu Encik Mohd Rashid b. Mean dan Encik Mohd Shah b. Kassim yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan untuk kita mengadakan PRINT’09 sejak dari awal lagi. Tahniah dan terima kasih kepada pegawai-pegawai atasan mereka yang tak dapat disebutkan nama-nama mereka di sini yang memberi pelepasan dan ruang kepada kedua-dua pegawai ini dalam membantu menggerakkan KRS MUSLEH sejak bergabung secara rasminya dengan KRS Malaysia di bawah KPM pada 21 Januari 2008.

Malam Kebudayaan Islam atau dikenali dengan nama Malam Seribu Wajah Satu Aqidah yang dihoskan oleh nasyeed.com menyemarakkan lagi kemeriahan PRINT’09. Mereka yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar SRI-SMI MUSLEH ini sanggup turun padang sejak hari pertama hingga hari ketiga bagi menyediakan kemudahan PA System dan Lampu yang sungguh canggih. Dengan rahmat Allah telah menemukan mereka dengan para muallim dan muallimah semasa mereka berada di bangku sekolah dulu. Ya, mereka kagum, muallim dan muallimahnya masih lagi berada di sekolah menabur jasa dan bakti sejak puluhan tahun yang lalu.

Qiam Perdana pada malam keempat iaitu malam terakhir, menjadi acara kemuncak PRINT’09 di mana 1000 hati bersujud di dataran Woods berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit dengan dipimpin oleh Ust Hj Abd Muhaimin b. Mohd Shahar Al Hafiz, Tokoh Hufaz Selangor memohon rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah SWT di sepertiga malam terakhir.

PRINT’09 ditutup dengan rasminya oleh Penaung KRS MUSLEH iaitu Tuan Megat Mohd Amin b. Megat Mohd Noor dalam acara yang penuh kasih sayang dan ukhuwwah di kalangan peserta. Sesi bergambar dan bersalam-salaman penuh syahdu dengan wajah yang ceria dan air mata kesyukuran. Semoga mendapat gelaran sepertimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya, iaitu dua orang yang berkasih sayang kerana Allah akan mendapat naungan Arash pada hari akhirat, di mana tidak ada naungan pada ketika itu melainkan naungan Allah SWT.

Secara lisannya kita akan dijemput untuk menyertai Jamboree Pramuka JSIT Indonesia yang akan diadakan pada 2011 bakal mengumpulkan 7000 orang anggota. ... Road to Jakarta 2011 ... bermula sekarang.

Sekalung penghargaan kepada semua hadir yang tidak dapat disenaraikan nama mereka di dalam ruangan ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

SATU RUMPUN SATU MATLAMAT SATU AQIDAH

Comments